Pelajar maut ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2012
SUNGAI UDANG – Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Al-Ahmadi, di sini, maut ketika dalam perjalanan ke sekolah, selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuh SPA berhampiran Bertam Ulu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi apabila mangsa, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu ke sekolah berkenaan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan.
“Mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di kepala,” katanya, semalam.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, datuk mangsa, Johari Yaakop, 54, berkata, dia mengetahui anak sulung daripada tiga beradik itu kemalangan selepas rakannya di warung makan memaklumkan ada seorang pelajar maut kemalangan berhampiran Bertam Ulu.
“Sebaik mendengar berita ini, hati saya mulai bimbang kerana cucu saya menggunakan laluan berkenaan untuk ke sekolah.
“Saya segera ke lokasi kejadian dan kebimbangan saya menjadi kenyataan sebaik sahaja saya lihat mangsa adalah cucu saya sendiri,” katanya.
Rakan mangsa, Muhammad Faris Buang, 17, pula berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke sekolah ditahan oleh seorang lelaki ketika melalui lokasi kejadian yang bertanyakan
sama ada saya mengenali mangsa.
“Sebaik memberhentikan motosikal, saya terkejut melihat mayat yang terbaring adalah rakan sekolah saya,” katanya.
No comments:
Post a Comment